MAHAR TERMAHAL !!!!!

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : ” خَطَبَ أَبُو طَلْحَةَ أُمَّ سُلَيْمٍ ،
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Abu Talhah telah meminang Ummu Sulaim,

فَقَالَتْ : وَاللَّهِ مَا مِثْلُكَ يَا أَبَا طَلْحَةَ يُرَدُّ وَلَكِنَّكَ رَجُلٌ كَافِرٌ ،
lalu Ummu Sulaim menjawab: Demi Allah, tiada lelaki seperti engkau wahai Abu Talhah yang patut ditolak pinangannya. Tetapi engkau lelaki kafir,

وَأَنَا امْرَأَةٌ مُسْلِمَةٌ ،
sedangkan aku perempuan Muslimah.

وَلَا يَحِلُّ لِي أَنْ أَتَزَوَّجَكَ ،
Tidak halal untuk aku mengahwini engkau.

فَإِنْ تُسْلِمْ ، فَذَاكَ مَهْرِي وَمَا أَسْأَلُكَ غَيْرَهُ ،
Seandainya engkau memeluk Islam, itulah maharnya dan aku tidak akan meminta mahar selain itu.

فَأَسْلَمَ فَكَانَ ذَلِكَ مَهْرَهَا
Lalu Abu Talhah pun memeluk Islam, dan pengislamannya itu menjadi maharnya.

قَالَ ثَابِتٌ : فَمَا سَمِعْتُ بِامْرَأَةٍ قَطُّ كَانَتْ أَكْرَمَ مَهْرًا مِنْ أُمِّ سُلَيْمٍ الْإِسْلَامَ فَدَخَلَ بِهَا فَوَلَدَتْ لَهُ .
Tsabit bin Aslam berkata: Aku tidak pernah mendengar tentang perempuan yang paling mulia maharnya berbanding Ummu Sulaim iaitu Islam. Suaminya menikahinya dengan mahar itu, dan dia melahirkan anak untuk suaminya.

[Sunan an-Nasaie as-Sughra, Kitab an-Nikah, hadis no : 3307]

Advertisements

FAHAMILAH EMOSI ANAK-ANAK

“My son hilang” terdengar suara sayu kawan saya memberi tahu di hujung talian talipon.
 
 
“Hilang? Bila?” tanya saya cemas. Di fikiran saya tergambar seorang remaja lelaki kena culik.
 
 
“Dah buat police report?” tanya saya lagi.
 
 
“Tak payah lah..” jawabnya
 
 
“Kenapa pulak tak payah?” rasa cemas saya masih belum lagi hilang.
 
 
“Dia sendiri yang menghilangkan dirinya” kata kawan saya lagi.
 
 
Saya menjadi semakin tidak faham.
 
 
“Cuba cerita betul-betul pada saya”
 
 
Setelah diceritakan dengan panjang lebar, barulah saya memahami. Anak lelaki kawan saya itu seorang pelajar universiti tempatan dan mengambil jurusan kejuruteraan. Di akhir semester dia kembali ke rumah sebelum melaporkan diri untuk praktikal di sebuah syarikat. Ayah dan ibunya dapat tahu bahawa dia mempunyai teman wanita. Setiap masa bergayut di talipon. Ada satu masa, teman wanitanya itu datang ke rumah. Kawan saya tidak suka lantas menegur, Mungkin teguran itu agak keras, si anak merajuk membawa diri. Dia tidak melaporkan diri di syarikat yang sepatutnya dia buat praktikal. Ayah dan ibu mencari-cari anak mereka yang hilang, talipon tidak dijawab. Satu hari ayah dan ibu  ternampak anak mereka di sebuah stesen minyak. Apabila ternampak ayah dan ibu, cepat-cepat dia menghilangkan diri.
 
 
Mungkin dalam fikiran ibu bapa seperti kita tertanya-tanya…
  • mengapa anak tidak peduli tentang masa depannya?
  • mengapa anak melakukan perkara-perkara yang bagi kita tidak masuk akal?
  • mengapa anak membiarkan dirinya dipengaruhi sesuatu yang negatif oleh kawan-kawannya?
  • mengapa anak susah sangat dan tidak mahu mendengar nasihat  walaupun sudah berbuih mulut ayah dan ibu memberi nasihat?
 
 
Ayah dan ibu yang bertanggungjawab tidak sanggup melihat anak mereka menghancurkan diri mereka sendiri. Semua ibu bapa yang bertanggungjawab inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Saya percaya, marah dan nasihat ibu bapa adalah untuk kebaikan anak-anak cuma caranya saja yang tidak kena barangkali menjadikan anak-anak memberontak, protes dan lari meninggalkan rumah. Ada anak yang melawan secara verbal dan ada anak memberontak dalam diam.
 
 
“Susah bercerita dengan ibu bapa saya…mereka tidak memahami saya..yang mereka tahu, berleter memanjang” keluh seorang remaja.
 
 
“Apa lagi yang saya tidak faham. Saya telah berusaha memberi yang terbaik kepada anak saya. Salahkah saya menegur kesilapan yang dilakukan” rungut seorang bapa.
 
 
Tidak sama sekali malah kita seharusnya menegur jika ternyata mereka membuat kesilapan. Yang mungkin menjadi kelemahan kita sebagai ibu bapa ialah kita kekurangan kemahiran untuk memahami tingkah laku dan pemikiran anak-anak terutamanya anak-anak remaja walaupun kita satu masa dahulu pernah juga menjadi remaja. Apabila kita tidak ada kemahiran tersebut, kita sembrono sahaja menegur mereka tentu teguran itu ditafsirkan secara negatif oleh anak-anak dan tentunya mereka tidak menyenangi apalagi mengikuti.
 
 
Jadi sekarang bagaimana caranya kita memahami tingkah laku dan pemikiran anak-anak? Kata kuncinya ialah EMOSI. Kenali dahulu emosi mereka  kerana  anak-anak dan remaja selalunya lebih didorong oleh emosi dan perasaan. Emosi biasanya menguasai cara mereka berfikir. Tanpa memahami dan mengenali emosi mereka maka nasihat-nasihat kita yang positif umpama mencurah air ke daun keladi malah mungkin membuatkan mereka semakin sebal dengan kelakuan kita dan melabelkan kita sebagai ‘ibu bapa yang tidak memahami’
 
 
“Ibu, tadi Amir bergaduh dengan Syafiq di sekolah. Dia tumbuk Amir dulu jadi Amir balas…”
 
 
“Ayah, buku latihan Matematik Wan hilang…”
 
 
“Ayah, tadi Amin didenda oleh guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah..”
 
 
Andainya anak kita datang mengadu kepada kita perkara-perkara di atas, bagaimana agaknya respon kita kepada mereka? Secara spontan mungkin kita akan memberi reaksi begini…
 
 
“Amir, sekolah itu tempat belajar bukan tempat bergadoh. Lain kali jangan buat lagi macam tu.. Ibu tak suka anak ibu bergaduh”
 
 
“Itulah Wan, kamu tu cuai sangat… selalu hilang barang, semalam hilang pensel, hari ini hilang buku. Agaknya kalau telinga tu tak melekat kat badan, telinga kamu tu pun boleh hilang jugak”
 
 
“Kan ayah dah ingatkan supaya siapkan kerja sekolah. Sapa suruh tak dengar cakap ayah..
 
 
Sejak  anak-anak kita kecil lagi, kita tidak memberi tumpuan kepada emosi mereka, tidak membantu mereka mengenali emosi mereka sendiri. Yang kita selalu lakukan ialah memberi nasihat atau anak kita menterjemahkan nasihat itu sebagai leteran. Kita tidak memberi ruang untuk mendengar luahan perasaan mereka. Kita begitu cepat jump into conclusion. Apabila perasaan mereka diabaikan, anak-anak akan marah dan benci lalu menarik diri. Benteng di antara ibu bapa dan anak mula terbentuk, membuatkan hubungan ibu bapa dan anak menjadi semakin renggang dan tidak mesra. Benteng yang terbina itu menghalang mereka untuk menerima nasihat dari ibu dan bapa. Dalam emosi yang negatif begitu, mana mungkin mereka akan menerima nasihat dari kita. Situasi ini berterusan sehingga mereka remaja…kemudian kita pun mengeluh begini…
 
 
“mengapa anak aku seakan tidak suka kepada aku..dia lebih mengutamakan kawannya…”
 
 
“mengapa anak aku menjadi pendiam..tidak banyak bercakap sedangkan dengan kawan-kawannya dia begitu peramah sekali…”
 
 
“anak aku tidak pernah menceritakan masalahnya kepada aku..jadi aku pun menganggap dia tidak ada masalah..tau-tau saja dia sudah terjebak dengan geng budak-budak nakal…”
 
 
 
Bagaimana caranya kita menangani emosi anak?
 
 
1. Jadilah pendengar yang baik. Dengarilah setiap luahan perasaan dengan penuh fokus. Jangan terperanjat, kadang-kadang yang diperlukan oleh anak cuma telinga ibu bapa yang seratus peratus mendengar bukan nasihat yang panjang berjela. Tunjukkan bahawa kita betul-betul mendengar bukan mendengar dengan sambil lewa. Tunjukkan kepada anak bahawa kita memberi tumpuan samada secara  verbal ( seperti -> ohhh… okay.. begitu rupanya..) ataupun secara gesture ( seperti -> anggukan kepala). Walaupun nampak begitu mudah, tetapi sukar juga bagi kita yang telah terbiasa mahu cepat memberikan penyelesaian kepada luahan perasaan anak. Kita menjadi tidak sabar mendengar cerita anak lebih-lebih lagi jika cerita itu berlegar-legar dan berbelit-belit. Jika kita mengambil jalan pintas dengan memberikan penyelesaian tanpa fokus kepada emosi mereka, anak akan menghindari dari berbicara dengan kita kerana mereka bimbang mereka akan dihakimi oleh ibu bapa.  Jika kita membiarkan anak meluahkan perasaan dengan bebas tanpa judgement, kita akan mendapati kadang-kadang anak-anak akan dapat menyelesaikan sendiri masalahnya. Secara tidak langsung, pendekatan ini akan mengembangkan keyakinan dalam diri mereka.
 
 
 
Dialog 1 
 
 
“Mama, ada orang curi pensel baru Mira yang cantik tu..”
 
 
“Betul ke ada orang curi atau Mira sendiri yang hilangkannya”
 
 
“Bukan Mira yang hilangkan. Mira letak pensel tu atas meja sebelum Mira pergi ke tandas masa di sekolah tadi”
 
 
“Salah Miralah..Siapa suruh Mira letakkan pensel tu atas meja. Tentulah ada orang yang akan ambil. Dah banyak kali pensel Mira dicuri. Dah banyak kali juga mama pesan supaya jaga barang-barang sendiri tapi Mira tak mau dengar cakap mama”
 
 
“Ah..malaslah cakap dengan mama.. Mama asyik nak membebel aje..”
 
 
 
Dialog 2
 
 
“Mama, ada orang curi pensel baru Mira yang cantik tu..?
 
 
“ohh..ye ke..”
 
 
“Mira tinggalkan di atas meja sebelum Mira pergi ke tandas masa di sekolah tadi..”
 
 
“Mmmmmm…”
 
 
“Ini dah kali ketiga pensel cantik Mira dicuri”
 
 
“Hmmmm..”
 
 
“Mira tahu salah Mira sebab tak jaga pensel tu betul-betul. Selepas ni sebelum Mira ke mana-mana, Mira akan simpankan pensel itu elok-elok supaya orang tak curi”
 
 
“Ohhh..ok”
 
 
 
2. Mengenali emosi, menamakan dan menggambarkannya. Perlu bagi kita untuk mempelajari makna dari emosi yang diluahkan oleh anak-anak secara verbal dan gesture. Ini penting kerana kita akan membantu anak-anak mengenali emosi mereka sendiri. Di bawah ini ialah beberapa bentuk emosi yang biasa dialami oleh manusia
  • Marah – merasakan adanya ketidakadilan
  • Rasa bersalah – merasa tidak berlaku adil terhadap orang lain
  • Takut – bimbang terhadap sesuatu yang tak diingini akan terjadi
  • Kecewa – apa yang dihajati tidak diperolehi
  • Sedih – kehilangan sesuatu yang dirasakan berharga dan disayangi
  • Kesepian – perasaan sunyi dan rindu
  • Rasa tidak mampu – perasaan tidak berdaya untuk melakukan sesuatu dengan baik
  • Bosan – jemu dan memerlukan sesuatu yang baru
  • Stress/ Depress – merasai ketidakselesaan yang menyakitkan
 
 
Dialog 1
 
 
“Ayah, hamster Nina mati. Pagi tadi dia elok aje”
 
 
“Ala jangan nangis…Yang mati cuma hamster aje”
 
 
“Huaaaaa..”
 
 
“Dah..dah jangan nangis, nanti ayah beli hamster baru”
 
 
“Nina tak mau hamster baru”
 
 
“Habis, Nina nak apa”
 
 
 
Dialog 2
 
 
“Ayah, hamster Nina mati..Pagi tadi dia elok aje”
 
 
“ohhh..sungguh mengejutkan..”
 
 
“Nina anggap hamster tu macam kawan Nina”
 
 
“Kehilangan kawan memang menyedihkan”
 
 
“Nina ajar día macam-macam”
 
 
“Nina seronok bermain dengan hamster tu ye..”
 
 
“Nina beri dia makan setiap hari”
 
 
“Nina memang ambil berat dan sayang pada hamster tu kan…”
 
 
“Ayah, nanti ayah belikan Nina hamster baru ye..”
 
 
 
Apabila didengari, dimengerti perasaannya, maka anak-anak akan menjadi lebih terbuka sikapnya terhadap kita. Mereka akan menjadi lebih yakin dan percaya untuk berkongsi permasalah yang mereka alami. Di saat itu, mudah bagi kita untuk menyarankan penyelesaian. Di saat itu juga, anak-anak akan lebih mudah menerima pandangan daripada kita.
 
 
Secara ringkasnya…
  • Mendengar dengan sepenuh perhatian
  • Acknowledge perasaan anak dengan perkataan…ohhh..Mmmm..Hmm… Okay…
  • Menamakan perasaan mereka,
  • Tawarkan pandangan atau idea untuk menyelesaikan masalah.

 

(Sumber dipetik daripada: http://ibubapacemerlang2012.blogspot.com/2012/06/fahamilah-emosi-anak-anak.html#.UsLXr7Q2Jbx)

ILMU & TAQWA

Para sahabat r.hum merupakan generasi manusia terbaik pernah berbekas di atas muka bumi ini. Kisah yang bakal dikongsi di bawah menyaksikan salah satu sifat ketaqwaan mereka yang tinggi. Walaupun mereka sememangnya diakui sebagai faqih dan ilmuwan hebat di zaman Rasulullah S.A.W., tetapi ilmu yang dimiliki menambahkan ketaqwaan mereka kepada Allah S.W.T. Sayangnya, ramai individu seperti saya pada hari ini, walaupun ilmu itu ‘kononnya’ tinggi, usahkan untuk diamal, malah ilmu hanya dijadikan modal perdebatan atas dasar kepentingan diri sendiri dan memandang rendah pada individu lain. Tiada perasaan takut dan berhati-hati dalam menyampaikan ayat-ayat al-Quran ataupun hadis. Moga Allah S.W.T. mengampuni kita dan moga-moga tatapan kisah sahabat menjadi pedoman dalam meneruskan pelayaran bahtera di dunia ini.

Kisah 1

Abdullah bin Zubair R.A. bertanya ayahnya: “Saya tidak mendengar ayah meriwayatkan daripada Nabi S.A.W. sebagaimana orang lain.” Zubair bin al-Awwam R.A. menjawab: “Ketahuilah aku tidak pernah berenggang dengan Baginda S.A.W. Namun aku pernah mendengar Baginda S.A.W. bersabda: ‘Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka!’ “

(Riwayat al-Bukhari)

Kisah 2

Abu Hurairah R.A. berkata: “Kalaulah tidak kerana dua ayat daripada Kitabullah ini nescaya aku tidak akan meriwatkan satu hadis pun!” Lalu beliau membaca firman Allah S.W.T. ayat 159-160, surah al-Baqarah: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah yang telah diturunkan sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah S.W.T. dan dilaknat oleh sekalian mahluk.”

(Riwayat al-Bukhari)

JIBRAIL PUN MENANGIS…

Diriwayatkan daripada Saiyidina Umar al-Khattab R.A. bahawa Jibrail A.S. telah datang berjumpa Rasulullah S.A.W. bukan pada waktu ia selalu datang. Rasulullah S.A.W> menghampiri Jibrail A.S. dan berkata: “Hai Jibrail, mengapa wajahmu berubah?”

Jawab Jibrail A.S.: “Aku diperintahkan datang untuk menerangkan tentang semburan api neraka.”

Rasulullah S.A.W. berkata: “Terangkan kepadaku tentang keadaan neraka dan jahannam.”

Jawab Jibrail A.S.: “Sesungguhnya Allah S.W.T. memerintahkan agar jahannam dinyalakan apinya selama 1000 tahun, sehingga berubah warnanya menjadi putih. Kemudian diperintahkan agar dinyalakan 1000 tahun lagi, lalu apinya menjadi merah. Setelah itu diperintahkan supaya dinyalakan selama 1000 tahun lagi, maka apinya menjadi hitam pekat dan tidak padam-padam…”

Jibrail A.S. menyambung lagi: “Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya lubang neraka itu dibuka sebesar lubang jarum, maka terbakarlah bumi dan segala isinya kerana betapa panasnya.

Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, sekiranya salah seorang daripada penjaga-penjaga neraka ini diutuskan ke bumi ini, nescaya matilah semua manusia kerana wajahnya hodoh dan baunya terlalu busuk.

Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, jika satu lingkaran daripada rantai neraka diletakkan di atas sebuah gunung, maka tembuslah gunung itu hingga ke dasar bumi yang paling bawah sekali.”

Rasulullah S.A.W. berkata: “Nasib baik aku tidak mati kerana pecah jantung kerana mendengar keteranganmu ini.” Rasulullah S.A.W. melihat Jibrail A.S. menangis dan Baginda turut menangis sambil berkata: “Mengapa engkau menangis, sedangkan kedudukan engkau begitu rupa di sisi Allah S.W.T.”

Jawab Jibrail A.S.: “Bagaimana aku tidak menangis, malah akulah yang lebih berhak untuk menangis, kerana siapa yang tahu tentang keadaanku dalam ilmu Allah S.W.T. tidak seperti yang aku ketahui. Aku tidak tahu adakah aku akan mengalami cubaan seperti iblis, sedangkan iblis itu adalah golongan malaikat. Dan aku tidak tahu apakah aku akan mengalami apa yang dialami oleh Malaikat Harut dan Marut.”

Kemudian kedua-dua mereka terus menangis sehingga datanglah seruan dari langit yang berbunyi: “Wahai Jibrail, wahai Muhammad, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjamin engkau berdua tidak akan derhaka.”

(Riwayat al-Baihaqi)

JAGALAH ALLAH

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا فَقَالَ
Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: Aku berada di belakang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda bersabda:

يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ : احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
Wahai orang muda, sesungguhnya aku mahu mengajar engkau beberapa perkataan iaitu : Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga engkau.

احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati Dia di hadapan engkau.

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ
Apabila engkau meminta, mintalah kepada Allah.

وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Apabila engkau memohon pertolongan, pohonlah daripada Allah.

وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ
Ketahuilah. Seandainya umat manusia berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada engkau,

لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ
nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat melainkan apa yang telah Allah tuliskan untuk engkau.

وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ
Seandainya mereka berkumpul untuk memberi sesuatu kemudharatan kepada engkau,

لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ
mereka tidak akan mampu memudharatkan engkau dengan sesuatu pun melainkan apa yang telah Allah tuliskan untuk engkau.

رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
Telah terangkatnya pena, dan telah keringlah lembaran.

[Sunan at-Tirmizi, Kitab Sifat al-Qiyamah wa ar-Raqaiq wa al-Wara’, hadis no : 2706, hasan sahih]