CIRI-CIRI TASAWWUR ISLAM: AL-RABBANIYYAH

Al-Rabbaniyyah merupakan konsep yang menjadi akar umbi atau dasar utama tasawwur (pandangan hidup) Islam. Ia menjadi tunjang yang hanya mempunyai satu kiblat, iaitu bernisbahkan terhadap keesaan Allah S.W.T. Nama lain yang diberi ialah tasawwur i’tiqadi kerana diwahyukan oleh Allah S.W.T. (Ramli Awang, 1997:87), tidak seperti tasawwur lain yang didorong oleh asakan falsafah barat dan pemikiran kendiri yang tidak bergerak di atas landasan hakikat.

Al-Rabbaniyyah berasal dari perkataan Rabb. Menurut Haron Din (1992:27), ia bermaksud Pemilik yang berkuasa, yang menguruskan dan Dialah yang paling tinggi. Meskipun ungkapan al-Rabbaniyyah atau Rabbani berbeza, tetapi kedua-duanya masih selari dan berpaksikan kekuasaan Allah S.W.T. Al-Azhari (Ramli Awang, 1997:89) yang mengambil hujah Abu al-Abbas menyatakan bahawa al-Rabbaniyyah bererti al-‘alim. Definisi daripada Ibn Manzur pula (Ramli Awang, 1997:89) merujuk kepada orang yang berilmu tentang Rabb, manakala Ibn Kathir (Ramli Awang, 1997:91) menjelaskannya sebagai al-‘Ulama wa al-‘Ubbad (mereka yang berilmu lagi ‘abid). Dalam konteks tasawwur Islam, al-Rabbaniyyah mencerminkan sifat Islam sebagai agama yang yang benar kerana disyari’atkan oleh Allah S.W.T. selaku Rabb sekalian alam untuk umat manusia sehingga ke akhir zaman.

Secara umum, pemahaman terhadap konsep al-Rabbaniyyah boleh dijelaskan melalui sifat kewujudan Allah S.W.T. (Haron Din, 1992:30). Kehebatan Allah S.W.T. yang bersifat esa, berdiri sendiri tanpa sebarang pergantungan, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Allah S.W.T. sahaja sebagai Pencipta. Kewujudan Allah S.W.T. dapat dibuktikan dengan kewujudan ciptaan-Nya, sama ada yang jelas atau tersirat. Seluruh isi alam meliputi langit dan bumi ialah ciptaan yang jelas, manakala ciptaan yang tersirat diceritakan di dalam al-Qur’an dan hadith Nabi Muhammad S.A.W. Begitu juga dengan 99 nama dan 20 sifat wajib Allah S.W.T. yang mencerminkan keagungan dan kekuasaan mutlak Allah S.W.T. sebagai Khaliq (Pencipta). Firman Allah S.W.T. yang bermaksud,

“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah S.W.T. kepadamu. Adakah Pencipta selain Allah S.W.T. yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan selain dia; Maka Mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?” (al-Fathir, 35: 3)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Dia Pencipta langit dan bumi. bagaimana Dia mempunyai anak Padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia menciptakan segala sesuatu; dan Dia mengetahui segala sesuatu.” (al-An’am, 6: 101)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Katakanlah: “Dialah Allah S.W.T., yang Maha Esa. Allah S.W.T. adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” (al-Ikhlas, 112: 1-4)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Maka bagi Allah S.W.T. segala puji, Tuhan langit dan Tuhan bumi, Tuhan semesta alam. Dan bagi-Nyalah keagungan di langit dan bumi, Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Jasiyah, 45: 36-37)

Penjelasan lanjut dalam sebuah hadith yang bermaksud,

“Dari Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda: Pada hari Kiamat bumi akan berada di dalam genggaman Allah S.W.T. dan langit berada di sebelah kanan-Nya kemudian berfirman; Akulah Raja, di manakah raja bumi hari ini?” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga dengan hadith ini yang bermaksud,

“Dari Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W. bersabda: Sesungguhnya bagi Allah S.W.T. mempunyai 99 nama, 100 kurang 1. Barangsiapa menghafalnya masuk ke dalam syurga. Dialah Allah S.W.T. yang tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Dia…..” (Hadith Riwayat al-Tirmizi)

Perbincangan mengenai al-Rabbaniyyah dapat dijelaskan dengan lebih lanjut melalui perspektif Yusuf al-Qardawi (Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Haji Mahmud, 2007). Beliau membahagikan al-Rabbaniyyah kepada empat aspek utama, iaitu al-Rabbaniyyah al-Ghayah (tujuan/matlamat), al-Rabbaniyyah al-Wijhah (persepsi/orientasi), al-Rabbaniyyah al-Masdar (sumber) dan al-Rabbaniyyah al-Manhaj (sistem).

Al-Rabbaniyyah al-Ghayah bermaksud bahawa sesungguhnya Islam telah menjadikan matlamatnya yang terakhir serta tujuannya yang jauh tidak lain dan tidak bukan hanyalah hubungan yang baik dengan Allah S.W.T. bagi mencapai keredhaan-Nya (Ramli Awang, 1997:96). Inilah matlamat mutlak kehidupan manusia di dunia walaupun masih terdapat tujuan-tujuan lain yang bersifat kehendak sosial. Oleh itu, manusia tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku sumbang dalam tindakan di dunia kerana masih tersimpul ikatan tanggungjawab di antara Rabb dan hamba. Perkara ini ditegaskan dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud,

“Wahai manusia, Sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, Maka pasti kamu akan menemui-Nya.” (al-Insyiqaq, 84: 6)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (al-Dzariyat, 51: 56)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah S.W.T., Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian Itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah S.W.T.).” (al-An’am, 6: 162-163)

Al-Rabbaniyyah al-Wijhah bermaksud bahawa sesuatu persepsi, tanggapan, dan tasawwur adalah dilihat melalui kerangka kaca mata atau acuan yang dipandu oleh Allah S.W.T. (Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Haji Mahmud, 2007). Hal ini menjelaskan bahawa setiap perkara perlulah ditelusi melalui perspektif Islam. Sebagai contoh, definisi kejayaan menurut Allah S.W.T. tidak hanya terbatas kepada kejayaan di dunia, tetapi hendaklah merangkumi kejayaan di akhirat juga. Firman Allah Allah S.W.T. yang bermaksud,

“Katakanlah: “Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun.” (al-Nisa’, 4: 77)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah S.W.T. kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah S.W.T. telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas, 28: 77)

Al-Rabbaniyyah al-Masdar bermaksud bahawa segala sumber dan akar umbi kepada kehidupan di seluruh alam ini adalah berpunca daripada acuan Allah S.W.T. dan mengembalikan sumber yang menjadi rujukan serta sandaran peraturan kehidupan secara keseluruhan kepada ketetapan Allah S.W.T.. Sumber syari’at Islam sudah tentu datang daripada al-Qur’an dan hadith Rasulullah S.A.W. (Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Haji Mahmud, 2007). Inilah sumber yang akan membentuk kehidupan manusia supaya berpegang teguh dengan tali agama Allah dan memelihara diri daripada terpesong. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud,

“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, Maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.” (al-Nahl, 16: 53)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada setiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. dan Kami turunkan kepadamu kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (al-Nahl, 16: 89)

Penjelasan lagi dalam sebuah hadith yang bermaksud,

“Dari Malik bin Anas Rahimahullah ‘alaih menceritakan bahawa telah sampai kepadanya satu riwayat di mana baginda Rasulullah S.A.W. bersabda: Aku telah tinggalkan dua perkara selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya sekali-kali kamu tidak akan sesat. Itulah al-Qur’an dan sunnah Nabi-Nya.” (Hadith Riwayat Imam Malik)

Al-Rabbaniyyah al-Manhaj bermaksud bahawa setiap sistem, peraturan, kaedah, dan undang-undang bagi menyempurnakan kehidupan insaniah adalah berteraskan kepada acuan Allah S.W.T. (Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Haji Mahmud, 2007). Pemahaman yang diperoleh di sini meletakkan Allah S.W.T. satu-satunya yang berkuasa memerintah, menyeru, melarang, menghalalkan, mengharamkan apa-apa sahaja yang terdapat dalam alam semesta ini. Sifat sempurna Allah S.W.T. juga menyempurnakan peraturan dan syari’at Islam yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan; akidah, ibadah, muamalat, mu’asyarah dan akhlak. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud,

“Telah sempurnalah kalimah Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimah yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-An’am, 6: 115)

Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud,

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syari’at (peraturan) dari urusan (agama itu), Maka ikutilah syari’at itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (al-Jasiyah, 45: 18)

Sebelum melihat kesejajaran al-Rabbaniyyah dalam pembangunan berteraskan Islam (PBI), pengertian konsep perlu diketahui. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2002:49), PBI adalah pembangunan yang berasaskan kepada keesaan Allah S.W.T, matlamatnya ialah keredhaan Allah S.W.T, dan kerangkanya merangkumi waktu kehidupan di alam roh, dunia dan akhirat. Menurut beliau lagi (2003:13), terdapat sekurang-kurangnya tujuh perkara asas atau prinsip yang menegakkan PBI.

Muhammad Syukri Salleh (2003:13-14) meletakkan tasawwur Islam sebagai acuan pembangunan (prinsip pertama), manusia sebagai pelaku pembangunan (prinsip kedua), alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan (prinsip ketiga), ilmu fardhu ‘ain sebagai kerangka pembangunan (prinsip keempat), ibadah sebagai perkaedahan pembangunan (prinsip kelima), sumber alam sebagai peralatan pembangunan (prinsip keenam) dan Mardhatillah sebagai matlamat pembangunan (prinsip ketujuh).

Kesimpulan daripada definisi dan prinsip-prinsip yang telah dijelaskan, dapat dilihat hubungan yang selari di antara al-Rabbaniyyah dan PBI. Roh keagamaan mempengaruhi falsafah PBI dengan berlandaskan syari’at Islam yang suci dan memenuhi empat aspek utama al-Rabbaniyyah; al-Rabbaniyyah al-Ghoyah (prinsip ketujuh), al-Rabbaniyyah al-Wijhah (prinsip pertama dan ketiga), al-Rabbaniyyah al-Masdar (prinsip keempat), dan al-Rabbaniyyah al-Manhaj (semua prinsip dalam PBI bertindak sebagai satu sistem atau model bersepadu yang meletakkan Allah S.W.T. sebagai Rabb dan manusia sebagai hamba). Oleh itu, pelaksanaan PBI wajar dan bersesuaian sebagai satu usaha memurnikan penghayatan konsep al-Rabbaniyyah dalam masyarakat Islam khususnya. Perkara ini juga dapat menjadi landasan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Bibliografi

Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Selangor: HIZBI, Shah Alam.

Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

Muhammad Yusuff al-Kandahlawi (2008). Muntakhab Ahadith, terjemahan Abu Abil Hasan Musa dan Muhammad Sanadi Abu Bakar. Selangor: Klang Book Centre, Klang.

Ramli Awang (1997). Tasawwur Rabbani Menurut Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Selangor: HIZBI, Shah Alam.

Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Haji Mahmud (2007). Agama Islam: Satu Kupasan Terhadap Ciri-ciri Perwatakannya. Al-Tadrib Jurnal Pusat Latihan Sarawak, 2.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s